Pengenalan Diri

Teks: Mahariani Hassan
Foto: Koleksi Peribadi Mahariani Hassan


Assalamualaikum dan Alhamdulillah.  Sampai juga kepada masa yang sesuai untuk mempunyai blog catatan pengalaman peribadi saya.  Saya sebenarnya bukan siapa-siapa.  Saya cuma ingin berkongsi pengalaman suka duka pahit masam manis kelat seorang hamba Allah yang bernama Mahariani Hassan atau lebih mesra disapa Maria saja.


Saya dilahirkan pada 2 Januari 1976.  Ya, umur saya dah 41 tahun waktu saya menulis entri ni. Saya seorang yang mempunyai cita-cita tinggi sedari kecil sebab di sebelah saya berdiri seorang motivator yang sentiasa saya sanjung hebat iaitu arwah Ayah saya sendiri.  Seingat saya, waktu memula masuk sekolah Darjah 1 masa tu, Ayah dah dorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya setiap hujung tahun saya dapat naik pentas untuk terima hadiah pelajar cemerlang dalam kelas.


Fuuhhhh saya memang bersemangat sebab saya suka hadiah.  Waktu dulu, tiga orang pelajar cemerlang dari setiap darjah akan dipilih untuk terima hadiah.  Hadiah pula sangat best bagi saya.  Biasanya alat tulis dan buku-buku.  Saya janji pada Ayah saya akan buat yang terbaik.  Pada waktu tu jugak, iaitu masa Darjah 1, Ayah dah paksa saya hafal sifir 1 hingga 12.  So setiap petang lepas ngaji Al-Quran, berbuih-buihlah mulut saya duk hafal sifir hehe.  Alhamdulillah saya memang selalu jadi pelajar terbaik masa di sekolah rendah dan setiap tahun saya akan naik pentas untuk ambil hadiah.  Hadiah paling best saya dapat ialah waktu darjah 6.  Sebuah basikal sebab dapat 5A UPSR.   Yessss !!!


Masa darjah 6, Ayah beri semangat pada saya supaya dapat kejayaan cemerlang dalam UPSR supaya saya dapat belajar di sekolah asrama penuh.  Alhamdulillah pesan Ayah saya genggam ketat-ketat dan berjaya lah saya masuk ke Sekolah Menengah Sains Machang, sebuah sekolah berasrama penuh tersohor di Kelantan.   Masa di sekolah menengah,  Ayah panaskan lagi semangat saya supaya belajar lebih tekun agar saya dapat masuk universiti hebat.  Alhamdulillah lepas SPM saya dapat sambung belajar di University of Arkansas, USA.



Pada tahun 1999 sekembalinya saya dari USA, saya diterima bekerja sebagai Pensyarah Bahasa Inggeris dan Matematik di SHAHPUTRA University College di Pekan, Pahang.  Di penghujung tahun 1999, Allah pertemukan jodoh saya dengan Hasnishah Idris dan dari situ pula bermula kisah dan pengalaman saya dalam bidang perniagaan.  Alhamdulillah, walaupun motivator hebat saya telah pergi ke alam 'sana',  Allah gantikan motivator yang tak kurang hebat dalam hidup saya iaitu suami saya.


Pada hari ni, dah hampir 17 tahun saya berbisnes.   Pernah lalui episod dukacita tapi semangat kami tak pernah dukacita.  Harus move on walau apapun yang terjadi.  Mulanya saya dan suami menceburi perniagaan kedai emas di Kuantan.  Masa tu emas cuma paling mahal pun RM36/gram.  Ada suatu masa emas naik sampai RM40/gram dan jualan makin kurang & makin kurang.  Tetiba pulak ada kawan baik suami rekemen untuk masuk program pelaburan antarabangsa.  Kami cuba melabur wang tunai RM100 ribu dulu.  Peringkat permulaan pelaburan kadar pulangan keuntungan sangat wowww hinggakan kami bercadang untuk melepaskan perniagaan kedai emas dan tumpukan betul-betul pada pelaburan ni.



Semua barang kemas kami LEBURkan dan jadikan GOLD BAR dan tukar jadi tunai untuk dilaburkan dalam program tu. Dipendekkan cerita, kedai emas kami tutup, pelaburan wang tunai hampir RM1.5juta belum dapat balik hingga ke hari ni.  Lebur, labur & lebur akhirnya 😭


Dipendekkan cerita...


Alhamdulillah Allah bantu dan kami move on & terus jalan.  Sekarang kami ada 5 cawangan kedai perabot, 3 buah hotel bajet, 3 projek perumahan sedang dalam pembinaan, 2 bilik seminar, dan In shaa Allah bulan Mac nanti kami akan buka cafe pertama.


Perjalanan bisnes saya dan suami agak panjang dan berliku-liku.  Besar harapan saya untuk menulis segala pengalaman bisnes dalam blog ni dan berkongsi macam mana kami dari berjaya, jatuh dan bangun kembali dan terus jalannnn sampai berjaya kini.


Sebenarnya,  saya bukan diduga dengan kehilangan RM1.5 juta saja.  Dugaan yang paling berat ialah semasa tahun 2007 saya disahkan mengidap kanser payudara.  Ya Allah masa mula2 tahu, saya dah tak fikir apa-apa.  Yang bermain dalam kepala saya ialah SAYA AKAN MATI.  Masa tu saya masih naif.  Maklumlah baru umur 31 tahun.  Berkat sokongan daripada suami, ibu saya, dan ahli keluarga,  saya teruskan melangkah dengan membuat rawatan lengkap bagi penyakit kanser iaitu pembedahan payudara, rawatan kemoterapi dan rawatan radioterapi.


Saya sangka selepas membuat rawatan lengkap, saya dah pulih.  Tapi sangkaan saya meleset sama sekali.  Lima tahun selepas serangan kanser payudara, saya diserang kanser lagi.  Allahuuuu.  Pada awal tahun 2012, saya mengalami batuk-batuk yang berpanjangan hingga berbulan-bulan lamanya.  Apabila dilakukan pemeriksaan dan ujian, doktor sahkan kanser telah merebak ke paru-paru.  Masya Allah.  Tapi kali kedua diserang kanser saya tenang je.  Saya dapat terima dugaan ni. Saya tahu kanser ni kalau dah merebak ke paru-paru memang dah tak ada jalan keluar cuma ada jalan MATI.  Tapi saya redha.  Saya dah benar-benar tahu erti sebenar redha.


Bila dah faham erti redha, saya terima dugaan ni tapi dalam masa yang sama saya perlu ikhtiar.  Saya terus jalannnnn.  Saya ulang balik rawatan kemoterapi & radioterapi.  Dalam masa yang sama juga saya mencari rawatan alternatif dan saya jumpa rawatan islamik iaitu dengan mengamalkan zikir dan bacaan ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran untuk merawat kanser.  Alhamdulillah, kini saya dah selesai rawatan kanser dan saya teruskan hidup macam biasa tapi kali ni saya berasa lebih dekat dengan Dia.  Setiap hari yang saya lalui terasa sangat bermakna. 


Saya percaya, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada rahmat yang tersirat.  Pasti ada pengajaran yang Allah nak kita pelajari.  Sungguh!  Dugaan ini buat saya belajar banyak benda.  Terlalu banyak yang ingin saya berkongsi dengan anda semua.  Inilah antara sebab utama saya nak mula menulis.  In Sha Allah saya akan berkongsi di sini tentang pengalaman bisnes, tips-tips urus bisnes untuk newbies, tips pengurusan kewangan, tips pengalaman sebagai pesakit kanser, tips urus emosi jika disahkan mengidap kanser, rawatan kanser secara konventional dan islamik, dan tak lupa juga travelog kembara saya sekeluarga ke tempat-tempat best di seluruh dunia.






Saya harap anda semua akan seronok berada dalam blog saya dan sentiasa ikuti perkembangan saya.  Semoga segala apa yang akan saya kongsikan memberi ibrah, inspirasi, dan pengajaran untuk kita semua.  Dengan izin Allah.



Terima kasih daun kelapa,
Esok pula kita jumpa.
 






No comments: