Kisah Sepasang Kasut dan Sehelai Kopiah

Assalamualaikum semua.  Semoga anda semua dalam rahmat Allah selalu.  Hari ni semasa balik dari hantar anak-anak ke sekolah, terdengar tazkirah pagi di radio. Entahlah, saya dah lupa radio apa ke namanya.  Tapi yang saya ingat tentang kisah sepasang kasut dan sehelai kopiah.

Di suatu pagi yang cerah, kasut dan kopiah bersembang-sembang selepas tuannya baru balik dari menunaikan solat subuh di masjid.  Sang kasut berkata kepada sang kopiah bahawa sangat beruntung menjadi kopiah.  Kopiah pun terkejut lah.  Apasal pulak ni?

Yelah.  Kalau jadi kopiah, kau dimuliakan.  Walaupun harga kau tak berapa mahal, tapi tempat kau lebih mulia.  Di atas kepala.  Tempat paling tinggi tu.  Lagi pulak, kau dipakai semasa tuan kita nak melakukan ibadah yang mulia iaitu ketika solat.  Kau dibawa masuk ke dalam masjid.  Kadang-kadang kau dipakai ke kelas mengaji Al-Quran dan ke majlis tahlil.

Tapi aku, kau tengoklah.  Walaupun hargaku mahal, tapi tempatku di kaki, tempat paling bawah.  Aku dipijak-pijak.  Kalau tuan kita ke masjid, aku cuma ditinggalkan di luar, ditepi tangga.  Aku tak layak dibawa masuk ke dalam masjid.  Aku tak layak dipakai ketika tuan kita sedang solat dan sujud kepada Allah.  Tak macam kau.  Kau turut sama solat dan sujud kepada Allah.  Aku sangat sedih dengan nasibku wahai sang kopiah.  Uhuk uhuk.Uhuk uhuk.  Sang kasut menangis teresak-esak di tepi tangga. 

Sang kopiah simpati lalu memujuk sang kasut.  Eh, janganlah kau fikir macam tu wahai sang kasut.  Cuba kau fikir yang baik-baik.  Aku ni, cuma di pakai ketika solat je.  Ke masjid pun kadang-kadang je.  Tapi kau, kau sangat diperlukan oleh tuan kita, lebih daripada dia perlukan aku.  Kau dibawa ke mana saja.  Ke tempat kerja, ke restoren, ke pasaraya, malahan ke merata tempat tuan kita bawa kau.  Tapi aku ditinggalkan tergantung tak bertali di dinding. 

Kalau kau tak ada, tuan kita tak dapat pergi solat di masjid.  Ingat lagi tak masa solat Jumaat hari tu kau hilang.  Penat tuan kita mencari kau.  Kesian dia terpaksa balik rumah dengan berkaki ayam.  Habis melecet kaki tuan sampai berdarah terkena batu-batu kerikil di jalan.  Sampai di depan rumah terpijak pulak najis kucing jiran sebelah rumah kita ni.  Memang haru-biru hidup tuan kita kalau kau tak ada.  Kau perasan tak ni wahai sang kasut?

Dusshhh... Tersentak hati sang kasut seolah-olah dipiat dengan tali kasut. Selama ni dia cemburu kepada sang kopiah yang sentiasa dipakai bersama ketika solat bersama tuannya.   Selama ni juga dia berasa seperti tak berguna kepada sesiapa sebab kedudukannya cuma di kaki.  Tapi hari ni, dia baru tersedar yang rupa-rupanya banyak sumbangan dia pada tuannya.  Banyak pahalanya sebab menjaga kaki tuannya daripada terkena najis, duri dan batu-batu tajam ketika berjalan kaki ke masjid.  Allahu, jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur. 

Begitulah juga kehidupan kita manusia.  Setiap insan mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik di dalam hidupnya.  Allah tidak memandang pangkat, harta dan rupa tapi Allah pandang apa amalan kita, bagaimana kita mengisi hidup ini, bagaimana kita merancang kehidupan selepas mati nanti. Harga seorang hamba bergantung kepada amalannya.

“Tidaklah Kuciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku.”
(Surah. Az-Dzariyat: 56)

Mahariani Hassan.
Catatan harian.



No comments: