5 TIPS JEMPUT PELANGGAN DATANG KE KEDAI KITA BERULANG-ULANG

Teks: Mahariani Hassan


Assalamualaikum diucapkan kepada anda semua. 

Sejak akhir-akhir ni nampaknya makin susah pelanggan-pelanggan nak masuk ke kedai kita.  Kita fahamlah keadaan sekarang ni dah tak macam dulu lagi.  Semua orang nak berjimat cermat.  Beli barang-barang keperluan je dulu.  Tapi kita cuba buat yang terbaik untuk tarik pelanggan yang "LAPAR" masuk ke kedai kita dan pulang dengan "KENYANG".

Cuba tips tarik pelanggan gaya saya ni.  In shaa Allah dengan izin Allah kedai anda akan sentiasa dikunjungi ramai pelanggan, nak-nak pula masa cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti..


1) TAJUK POS IKLAN BLOG, FACEBOOK ATAU INTAGRAM MESTI MENUNJUKKAN LOKASI KEDAI

- Buat satu post dengan gunakan tajuk yang mengandungi lokasi yang spesifik.  Kalau anda buat Fb ads, pastikan iklan tu disasarkan kepada AVATAR yang ada berhampiran dengan kedai kita tu.
- Dengan cara ni, diorang akan lebih alert tentang kewujudan kedai kita ni, alahai dekat je pun dengan tmpat diorang.
- Contohnya post iklan kedai perabot Purnama Home Decor.


"FIRST IN KOTA BHARU! KEDAI PERABOT KONSEP IKIA KINI DIBUKA DI JALAN HOSPITAL KG TAPANG!"

"TAK TAU MANA NAK SHOPING PERABOT HUJUNG MINGGU NI? JOM LA KE KEDAI PERABOT PURNAMA KUALA IBAI!"

"APA? SET BILIK TIDUR LENGKAP DI KEDAI PERABOT PURNAMA CAWANGAN BALOK CUMA RM799?"


Nampak kan?  Haaaa terbayang dah dalam kepala balik kerja nanti nak cuba intai-intai kedai perabot Purnama Home Decor tu.


2) AMBIL GAMBAR KEDAI

 - Mula-mula ambiklah gambar kat luar kedai kita yang boleh nampak papan tanda atau bunting atau apa-apa mercu tanda berdekatan..  
- Dengan cara ni, bakal pelanggan akan senang nak cam rupa paras kedai kita jika dia lalu jalan tu.
- Lepas tu ambillah gambar suasana dalam kedai kita.  Sebenarnya kan, pelanggan suka gambar yang 'raw'.  Gambar yang REAL.  Tak payah nak crop cantik-cantik bagai. Ejas sikit-sikit jer.
- Paling best ambik gambar masa pelanggan tengah ramai berpusu-pusu pilih barang dalam kedai kita.  Tu semuanya akan menambahkan 'trust' bakal pelanggan untuk singgah ke kedai kita.
- Dah ada semua gambar tu, masukkan dalam post yang kita buat tajuk spesifik lokasi tadi.


3) BAGI TAWARAN

- Sekali sekala buatlah tawaran khas untuk pelanggan terawal atau pelanggan bertuah yg datang ke kedai kita.  Letakkan urgency seperti masa terhad dan stok terhad.
- Contohnya:


"Khas utk 10 pelanggan terawal, kami akan bagi percuma 4 biji bantal bulu angsa emas jika anda buat pembelian set bilik tidur berharga RM1000 ke atas.  Tapi tawaran ni terhad sampai hari Jumaat ni je tau.  Jadi, jangan lah tunggu lama-lama adik kakak semua.  Cepatlah datang borong perabot dekat sini ok.


4) BUAT PERADUAN

- Kalau anda ada bajet lebih sikit, buatlah peraduan dan bagi hadiah istimewa sikit.
- Contohnya, mintak pelanggan swafoto dengan barang yang dibeli dan hantar gambar tersebut kepada kita.  Pelanggan yang menghantar gambar yang paling unik dan terserlah akan memenangi sebuat tablet bernilai RM2000.00.
- In shaa Allah nanti ramailah pelanggan akan berpusu-pusu datang kedai beli barang sambil swafoto sebab nak menangtablet yang mahal itu.


5) LAYANAN MESRA PELANGGAN

- layan pelanggan dengan baik dengan berkongsi kebaikan barang yang dia bercadang nak beli.  Ceritalah dengan jujur segala keunikan dan kebaikan barang kita tu.  Yang penting barang kita dapat selesaikan masalahmereka.
- Boleh juga sediakan air mineral dan snek ringan untuk pelanggan sementara dia tengah buat keputusan atau semasa dia menunggu kita membuat bil jualan.
- Jika jualan telah berjaya, tawarkan pertolongan untuk mengangkat barang-barang ke keretanya atau usahakan untuk memberikan penghantaran segera ke rumahnya.
- Selepas sehari, cubalah hubungi pelanggan melalui panggilan telefin atau pesanan ringkas bertanyakan feedback pelanggan tentang keadaan barang samada dalam keadaan ok dan baik.  Tanya juga samada dia puas hati dengah layanan dan servis kita.
- In shaa Allah pelanggan akan datang lagi.  Bukan dia datang sorang je, dia datang dengan mak, ayah, adik-beradik, jiran dan geng satu pejabat.


Jadi pada anda yang ada kedai fizikal dan dalam talian, bolehlah cuba tips yang saya bagi ni ye. Saya doakan moga kedai anda akan diserbu bertalu-talu dengan pelanggan-pelanggan selepas ni.

Dengan izin Allah.

Secret Garden

Alhamdulillah… Pagi Ahad yang sedikit mendung  hari ni. Daripada duduk bemalas-malasan atas katil  rasa lebih baik bermesra-mesraan dengan pokok-pokok di taman halaman rumah yang saya namakan  secret garden.
Sebenarnya, kebanyakan pokok yang ada di taman ni ditanam oleh Abang. Kami mula menanam pokok-pokok ni dari awal mendiami rumah ini iaitu pada akhir tahun 2004. 
Alhamdulillah taman ini dibina dengan penuh kasih sayang oleh kami sekeluarga. Sekarang kebanyakan pokok dah semakim tinggi dan membesar. Sebagai contoh, pokok kipas dahulunya hanya dibeli didalam pasu plastik yang kecil. Tingginya dulu tak sampai satu kaki. Tapi sekarang dah besar panjang hidup subur di tepi gazebo minum petang.
Secret garden diberi nama berdasarkan kedudukan taman ini terbatas daripada pandangan orang luar. Rumah kami dipagari pagar benteng setinggi 8 kaki. Bukan bertujuan untuk bermegah tetapi bertujuan untuk mewujudkan sebuah rumah yang santai seperti di resort dan kami bebas bersantai di taman atau makan2 di ruang makan terbuka sambil menonton tv tanpa ternampak oleh orang lain dari luaran atau jalanan.
Insya Allah secret garden ini akan terus menceriakan hidup kami sekeluarga dengan memberikan udara yang bersih dan menyebarkan Qi positif serta cinta kasih sayang ke seluruh hidup kami.
Mahariani Hassan
Catatan harian.

Lala oh Lala

Assalamualaikum semua.  Anda pernah makan masakan dari makanan laut yang diberi nama 'shell out'? Anda mesti tak percaya yang saya tak pernah cuba makan di restoren yang menyediakan masakan 'shell out'.

Saya bukannya allergic pada makanan laut tapi saya trauma.  Saya trauma pada mende yang namanya lala.  Issshhh kejadian ni dah hampir 17 tahun berlalu tapi masih segar suci dalam debu.

Masa mula-mula kahwin, jarang sangat masak kat rumah.  Yelah duduk berdua, baru kahwin, masak pun tak pandaiiii.  Yang reti masa tu masak megi jerr.

Ada suatu hari tu Uncle Lim, kawan abang ajak makan kat luar.  Makan istimewa sikit kat restoren ikan bakar femes kat Kuantan.  Makan besar jugaklah malam tu antaranya nasi lemak rambo, ikan pari bakar, kerang bakar dan lala bakar.

Saya tak pernah makan lala bakar.  Kalau etok salai tu selalu dah makan.  Lala ni kakak kepada etok lah lebih kurang tapi bentuk dia macam tiga segi sikit.  Anda mesti selalu makan kan?

Ikan dan kerang bakar saya tolak tepi.  Saya ngadap lala bakar je.  Sedap weiiihhhh lala bakar dengan sos rahsia resepi Rambo katanya.  Rasa pedas-pedas tapi manis masin dan masam sekata dan isi lala tu sangat juicy perrgghhh saya makan tak tengok kiri kanan dah hahah.

Malam tu saya tidur kekenyangann.  Tapiiii, dalam pukul 3 pagi macam tu perut saya rasa macam ada lala gergasi dengan gigi tajam duk ngap-ngap  ratah isi perut saya.  Pedihnya ya ampunnn.  Entah berapa kali saya ulang alik ke jamban malam tu.  Saya sumpahhhh tak akan makan lala lagi lepas tu.


Lala oh lala.



Tapi semalam, akhirnya saya cuba makan.  Abang order pakej untuk 4 orang makan.  Ada lala, kerang, sotong, udang, ketam, oister, juga sayur campur dan nasi.  Sebelum tu dah baca doa Bismillah Syafi.  Moga Allah selamatkan dari segala kemudharatan.

Sambil makan, abang kata shell out ni tak best pun dari segi rasanya.  Apa yang best ialah perasaan harmoni dimana kita berempat makan dengan tangan dalam bekas yang sama.  Adik ambik lala kakak, abah ratah sotong adik, mami tolong kupas kerang abah, bercampur aduk pula dengan cerita-ceriti dan gelak ketawa dengar cerita kakak satu kelas  kena denda ketuk ketampi sebab tak turun ke padang masa subjek PJ.

Sungguh!  Bukan sekadar makan makanan yang mahal dan mewah buat kita rasa gembira, tapi saat-saat dan moment ketika makan itu sendiri yang lebih berharga dan tak ternilai harganya.  MASA yang kita luangkan bersama keluarga tersayang sangat mahal harganya dan tidak pula dapat dapat dijual beli kerana MASA yang berlalu tidak akan dapat dipusing kembali.

Syukur Alhamdulillah dengan segala rezqi yang Allah kurniakan.

Mahariani Hassan
Catatan harian.

TERBAIK !

‎(فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ)

[Ar-Rahman:13]

(Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu,
yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Malam tadi, seperti dipanggil-panggil oleh Allah untuk bersujud padanya. Kejutan pertama pada jam 3.30am.
Tersedar…

Ya Allah!!! ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!
Allah.! Allah! Allah!

Astaghfirullahal’azim..
Astaghfirullahal’azim..

Astaghfirullahal’azim..
Terlelap…

Jam 4.30am..
Jam penggera telefon berbunyi…
Ya Allah!!! Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!
Allah.! Allah! Allah!

Astaghfirullahal’azim..
Astaghfirullahal’azim..

Astaghfirullahal’azim..
Terlelap lagi.. Ya Allah!!!

4.40am. Alhamdulillah…
Berjaya juga melepaskan belenggu syaitan…

Selesai solat taubat dan tahajjud, tambah pula solat sunat syukur.
Airmata kesyukuran membasahi sejadah yang diharumi dengan wangian kasturi.

Ya Allah! Terima kasih ya Allah!

KurniaanMu kepadaku, semuanya yang terbaik..
Kau kurniakan hidup yang terbaik buatku..

Suami yang terbaik

Ibubapa terbaik

Anak-anak terbaik

Adik beradik terbaik

Keluarga terbaik

Sahabat-sahabat terbaik

Jiran-jiran terbaik

Rumah terbaik

Kenderaan terbaik

Pekerjaan terbaik

Jawatan terbaik

Doktor terbaik

Hospital terbaik

Dan senarai ini takkan habis…

Semua semua semua TERBAIK !!!

Aku malu…
Sangat-sangat malu padaMu Ya Allah jika aku membawa persembahan yang tidak TERBAIK saat menemui Mu nanti Ya Allah!!!

Berikanlah aku kekuatan dan kesihatan yang terbaik
Agar aku dapat beribadah kepada Mu dengan sempurna dan TERBAIK Ya Allah!!!

Perkenankanlah Ya Allah…

Mahariani Hassan
Catatan harian.

Kisah Sepasang Kasut dan Sehelai Kopiah

Assalamualaikum semua.  Semoga anda semua dalam rahmat Allah selalu.  Hari ni semasa balik dari hantar anak-anak ke sekolah, terdengar tazkirah pagi di radio. Entahlah, saya dah lupa radio apa ke namanya.  Tapi yang saya ingat tentang kisah sepasang kasut dan sehelai kopiah.

Di suatu pagi yang cerah, kasut dan kopiah bersembang-sembang selepas tuannya baru balik dari menunaikan solat subuh di masjid.  Sang kasut berkata kepada sang kopiah bahawa sangat beruntung menjadi kopiah.  Kopiah pun terkejut lah.  Apasal pulak ni?

Yelah.  Kalau jadi kopiah, kau dimuliakan.  Walaupun harga kau tak berapa mahal, tapi tempat kau lebih mulia.  Di atas kepala.  Tempat paling tinggi tu.  Lagi pulak, kau dipakai semasa tuan kita nak melakukan ibadah yang mulia iaitu ketika solat.  Kau dibawa masuk ke dalam masjid.  Kadang-kadang kau dipakai ke kelas mengaji Al-Quran dan ke majlis tahlil.

Tapi aku, kau tengoklah.  Walaupun hargaku mahal, tapi tempatku di kaki, tempat paling bawah.  Aku dipijak-pijak.  Kalau tuan kita ke masjid, aku cuma ditinggalkan di luar, ditepi tangga.  Aku tak layak dibawa masuk ke dalam masjid.  Aku tak layak dipakai ketika tuan kita sedang solat dan sujud kepada Allah.  Tak macam kau.  Kau turut sama solat dan sujud kepada Allah.  Aku sangat sedih dengan nasibku wahai sang kopiah.  Uhuk uhuk.Uhuk uhuk.  Sang kasut menangis teresak-esak di tepi tangga. 

Sang kopiah simpati lalu memujuk sang kasut.  Eh, janganlah kau fikir macam tu wahai sang kasut.  Cuba kau fikir yang baik-baik.  Aku ni, cuma di pakai ketika solat je.  Ke masjid pun kadang-kadang je.  Tapi kau, kau sangat diperlukan oleh tuan kita, lebih daripada dia perlukan aku.  Kau dibawa ke mana saja.  Ke tempat kerja, ke restoren, ke pasaraya, malahan ke merata tempat tuan kita bawa kau.  Tapi aku ditinggalkan tergantung tak bertali di dinding. 

Kalau kau tak ada, tuan kita tak dapat pergi solat di masjid.  Ingat lagi tak masa solat Jumaat hari tu kau hilang.  Penat tuan kita mencari kau.  Kesian dia terpaksa balik rumah dengan berkaki ayam.  Habis melecet kaki tuan sampai berdarah terkena batu-batu kerikil di jalan.  Sampai di depan rumah terpijak pulak najis kucing jiran sebelah rumah kita ni.  Memang haru-biru hidup tuan kita kalau kau tak ada.  Kau perasan tak ni wahai sang kasut?

Dusshhh... Tersentak hati sang kasut seolah-olah dipiat dengan tali kasut. Selama ni dia cemburu kepada sang kopiah yang sentiasa dipakai bersama ketika solat bersama tuannya.   Selama ni juga dia berasa seperti tak berguna kepada sesiapa sebab kedudukannya cuma di kaki.  Tapi hari ni, dia baru tersedar yang rupa-rupanya banyak sumbangan dia pada tuannya.  Banyak pahalanya sebab menjaga kaki tuannya daripada terkena najis, duri dan batu-batu tajam ketika berjalan kaki ke masjid.  Allahu, jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur. 

Begitulah juga kehidupan kita manusia.  Setiap insan mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik di dalam hidupnya.  Allah tidak memandang pangkat, harta dan rupa tapi Allah pandang apa amalan kita, bagaimana kita mengisi hidup ini, bagaimana kita merancang kehidupan selepas mati nanti. Harga seorang hamba bergantung kepada amalannya.

“Tidaklah Kuciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku.”
(Surah. Az-Dzariyat: 56)

Mahariani Hassan.
Catatan harian.



Destinasi atau Perjalanan ke Destinasi yang Penting?

Semakin saya mengembara, semakin saya sedar yang bukan destinasi yang kita nak pergi tu yang penting sebenarnya, tetapi perjalanan untuk sampai ke destinasi tu yang sangat berharga.

Larnachs Castle, Queenstown, New Zealand.  November 2016

10 benda PENTING WAJIB bawa masa nak melancong ke luar negara.

Teks: Mahariani Hassan


Ok hari ni saya nak kongsi apa benda-benda penting yang kita perlu bawa semasa kembara khususnya ke luar negara. Tips ni saya buat khas untuk kembara DIY saya dan famili ke New Zealand Nov/Dec 2016 dan juga pengalaman kembara ke UK, Europe, Turkey, India, China pada tahun-tahun yang lepas.


1. PASSPORT, VISA, LESEN MEMANDU
-Kita kena pastikan passport mestilah valid sekurang-kurangnya 6 bulan selepas tarikh kita balik semula ke Malaysia.
-Pastikan kita dah dapat visa untuk ke negara yang memerlukan visa contohnya ke Australia, India dan China.
-Hong Kong tak payah mohon visa tapi kalau kita melancong di Hong Kong tapi nak pergi sekejap ke Shenzen, jangan lupa lah kena mohon visa China. Boleh mohon visa online tapi kalau nak senang boleh buat kat mana-mana agensi pelancongan.
-Mohon lesen memandu antarabangsa jika tempat yang kita nak pergi tu tak nak gunapakai lesen memandu Malaysia contohnya di UK. Boleh mohon di kaunter JPJ dan bayar RM150 siap terus.
-Di New Zealand boleh guna lesen memandu Malaysia yang terbaru (yang ada versi English).


2. TIKET PENERBANGAN / DOKUMEN INSURANS / ITINERI
-Tiket penerbangan, polisi insurans dan itinerari mesti dicetak siap-siap dan simpan juga dalam telefon kita untuk mudah dirujuk nanti.
-Jangan lupa cetak siap-siap booking reference kalau kita ada buat tempahan hotel, kereta sewa dan daftar masuk ke mana-mana aktiviti.
-Letak dokumen-dokumen ni kat dalam satu tempat, macam saya letak dalam 'zipped folder'.


3. DUIT, KAD ATM / DEBIT / KREDIT
- Tukar siap-siap duit asing yang kita nak bawak.
-Kalau nak jimat, survey dulu beberapa 'money changer' yang boleh bagi harga paling rendah kadar tukaran wang asing negara yang kita nak pergi tu.
-Jangan pulak pergi tukar kat airport, mahal nanti !
- Pastikan kita dah aktifkan kredit kad untuk pengeluaran duit kat luar negara nanti. Manalah tau mungkin kita nak pakai duit lebih kat sana nanti.
-Kita juga kena pastikan dah set PIN kad kredit / debit sebab sekarang semua urusniaga yang guna kad kredit/debit mesti guna PIN.
-Kadang-kadang kad kredit lebih penting dari wang tunai macam di New Zealand dan UK walaupun kita dah bayar penuh untuk apa-apa tempahan, diorang masih perlukan kad kredit sebagai jaminan keselamatan.
-Kebanyakan kedai di New Zealand terima kad kredit  walaupun kita beli barang harga $5.


4. PAKAIAN YANG SESUAI
- Bawa pakaian sesuai mengikut cuaca kat tempat kita nak pergi tu. Boleh semak anggaran suhu dan cuaca kat aplikasi cuaca.
-Bagi saya yang kembara DIY ke New Zealand, saya tak bawa banyak pakaian sebab kebanyakan motel yang saya menginap ada kemudahan mesin basuh dan mesin pengering.
-Bawa tudung atau shawl yang jenis tak payah beriya nak kena gosok dan jenis warna yang boleh disuai padan dengan pelbagai baju.
-Bawa kain batik dan kain pelikat juga telekung solat.
-Bawa kasut yang paling kita selesa pakai sebab bila kembara kita akan banyak berjalan. Saya akan bawa sepasang 'boots' (utk hari hujan) dan sepasang kasut sukan khusus untuk berjalan.
-Boleh juga bawa selipar jepun. Kalau penerbangan ambil masa yang lama berjam-jam, kita boleh pakai selipar jepun ni masa kat dalam kapal terbang nanti.
-Bawa beg sandang untuk letak barang-barang kecil yang nak guna masa dalam perjalanan macam tisu, losyen, makanan ringan, air botol, dan lain-lain.


5. UBATAN
- Bagi yang ada sakit kencing manis, darah tinggi, jantung, dan sebagainya, bawa ubat-ubatan dalam kuantiti yang mencukupi sebab biasanya ubat-ubatan di luar negara sangat mahal jika nak dibandingkan dengan ubat di Malaysia.
-Letak ubatan yang penting ni di tempat yang senang dicapai terutamanya semasa dalam penerbangan.
-Lain-lain ubat dan first aid kit seperti:
A) Ubat tahan sakit, demam dan selsema seperti Panadol.
B) Ubat sakit tekak seperti strepsils dan fishermen's friend.
C) Nivea krim (wajib sapu seluruh badan jika kembara pada musim sejuk)
D) Pelembab bibir
E) Minyak angin seperti tiger balm dan minyak yuyi.
F) Handiplast


6. TOILETRIES
- Bawa toiletries dalam satu beg khas dan letak dalam bagasi yang di check-in sebab alatan toiletries ni biasanya jenis cecair.
-Perlu diingat alatan cecair lebih dari 100ml tak boleh bawa dalam beg tangan dan carry-on luggage (beg yang kita bawa masuk ke dalam tempat duduk dalam penerbangan) jadi saya selalunya letak toiletries dan benda-benda yang bentuk cecair dalam bagasi besar.
-Bawa syampu, ubat gigi, sabun mandi, pencuci muka dan lain-lain dalam kuantiti kecil (travel pack).
-TISU BASAH. Kebanyakan tandas di negara lain seperti di China, Europe, UK dan India tak ada paip air macam tandas di Malaysia. Jadi boleh bawa siap-siap tisu basah ni untuk memudahkan urusan kita nanti.
-Boleh juga guna tisu basah ni untuk cuci tangan sebelum dan selepas makan.
-Alat solek
-Bawa gunting kecil, gunting kuku, pisau kecil, dan pencukur.
-Sikat rambut danpengikat rambut
-Minyak wangi dan deodoren
-Tuala wanita dan pantyliners


7. UNIVERSAL ADAPTOR
- Kebanyakan plug di negara lain tak sama dengan Malaysia. Jadi beli siap-siap universal adaptor ni kat kedai-kedai hardware seperti Mr DIY.
-Boleh juga bawa extension kabel jika perlu.


8. SMARTPHONE / POWERBANK / CHARGER PHONE
- Yang ini memang wajibal ghunnah sangat-sangat lah kan. Kalau tak bawa memang tak sah lah kembara kita.
-Boleh beli simkad pek kembara untuk buat panggilan telefon dan guna internet.
-Muat turun siap-siap apa-apa aplikasi berkaitan melancong semasa di Malaysia lagi.
-Caj telefon pada waktu malam supaya tak payah nak bergantung pada powerbank sangat masa kita jalan-jalan.


9. MAKANAN
-Bawa makanan yang sesuai masuk dalam kapal terbang seperti paket kecil biskut/kacang, makanan instant energy seperti sneakers, mars, cloud 9 dan lain2, coklat, kurma/kismis, juga makanan bayi seperti nestum.
-Bagi yang nak memasak nasi dan jimat duit, boleh bawa periuk nasi elektrik atau tempah penginapan yang menyediakan peralatan memasak.
-Seeloknya bawa makanan yang dalam pek (commercially packed) seperti sambal bilis brahims, tuna dalam tin, serbuk sup cendawan, minuman 2in1 dan macam-macam lagi.
-Bawa perencah nasi goreng. Boleh guna bila nak masa nasi goreng, sayur goreng, sup sayur dan untuk perasakan ikan atau ayam goreng.
-Elakkan bawa buah-buahan kerana ada sesetengah negara seperti New Zealand tidak benarkan kita bawa masuk buah-buahan.
-Biasanya kos makan adalah kos yang paling tinggi ketika melancong. Jadi dengan memasak sendiri bolehlah jimatkan bajet kita.
-Tapi kalau ada peluang, boleh cuba makanan tempatan kat negara yang kita pergi tu tapi pastikan HALAL ye.


10. PLASTIK ZIPLOCK dan BEG PLASTIK
- Plastik ziplock tu untuk senang nak simpan apa-apa dalam perjalanan seperti makanan ringan, sandwich dan lain-lain.
-Beg plastik untuk letak baju kotor,  untuk buang sampah dan kegunaan lain.
-Ada sesetengah negara tak sediakan beg plastik di pasaraya contohnya seperti di United Kingdom. Jadi boleh bawa siap-siap plastik dalam beg tangan kita dan tak perlu lah nak bayar lebih.


Rasanya dah cukup dah apa benda WAJIB dan PENTING perlu bawa. Kalau ada apa-apa lagi tolong senaraikan di komen ye.


Ohh satu lagi !!! Jangan lupa semak nama kita di imegresen dulu, manalah tahu munbgkin kita lupa nak bayar duit PTPTN tapi ada hati nak pergi melancong ke luar negara. Haha! Eh gurau je 😂


Selamat bercuti saya ucapkan kepada anda !  Semoga anda lebih dekat dengan Pencipta alam ini.

PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN

Teks:  Mahariani Hassan
Foto:  Koleksi Mahariani Hassan

Antara produk / servis yang saya tawarkan adalah:

PENGINAPAN HOTEL BAJET

Setakat entri ini ditulis, saya mempunyai tiga lokasi hotel bajet di bandar Kuantan iaitu :

1)   24 Seven Hotel - Harga serendah RM65.00 semalam
      Lokasi:  Di tengah-tengah pusat bandar Kuantan
      Untuk tempahan sila hubungi: 09-5124910





2)   Cherita Rooms - Harga serendah RM80.00 semalam
       Lokasi:  Di Tanjung Lumpur, Kuantan.
       Untuk tempahan sila hubungi: 011-37475226



3)   EastVille Residence - Harga serendah RM130.00 semalam
      Lokasi:  Di Sungai Karang, Kuantan.
      Untuk tempahan sila hubungi: 016-9209079

    

3 PANTANG LARANG DALAM BISNES

Teks:  Mahariani Hassan

Assalamualaikum semua.  Saya doakan moga anda sihat, ceria dan melimpah ruah rezeki datang pada hari ini dan hari-hari akan datang.  In shaa Allah hari ni saya nak berkongsi tentang 3 PANTANG LARANG DALAM BISNES



1. JANGAN CAMPUR ADUK duit bisnes dengan duit sendiri. Sebolehnya kita asingkan duit bisnes dengan duit peribadi ok. Buka akaun bank khas untuk duit bisnes keluar dan masuk. Ambil gaji tetap yang kita rasa sesuai dengan kemampuan untuk kegunaan peribadi barulah.  Dengan cara ni kita tak akan terambil duit bisnes untuk kegunaan peribadi seperti membeli susu dan lampin pakai buang anak,
.

2. JANGAN TAMAK nak buat macam-macam bisnes dalam satu masa, kecuali kalau bisnes kita dah betul-betul boleh berdiri teguh dan mantap. Mulakan dengan bisnes yang paling kita rasa minat sangat nak buat dan masa yang sama dapat untung lebih. Bila kewangan kita dah selesa, bolehlah kita tambah bisnes kedua dan seterusnya.
.

3. JANGAN SOMBONG dan tinggi diri walaupun kita dah taraf jutawan hartawan dan dermawan. Dalam bisnes kita kena ikut cara pokok padi, semakin BERISI semakin HUMBLE & RENDAH DIRI. Kalau bisnes ikut cara lalang, makin tinggi makin menyemak je, memang tak bertahan lama lah jawabnya. Kejap lagi ada lah orang datang tebas dan bakorrr je 😂
.
Dapat sesuatu? Tinggallah komen anda barulah BEST !
.
Lefchuollsss

Pengenalan Diri

Teks: Mahariani Hassan
Foto: Koleksi Peribadi Mahariani Hassan


Assalamualaikum dan Alhamdulillah.  Sampai juga kepada masa yang sesuai untuk mempunyai blog catatan pengalaman peribadi saya.  Saya sebenarnya bukan siapa-siapa.  Saya cuma ingin berkongsi pengalaman suka duka pahit masam manis kelat seorang hamba Allah yang bernama Mahariani Hassan atau lebih mesra disapa Maria saja.


Saya dilahirkan pada 2 Januari 1976.  Ya, umur saya dah 41 tahun waktu saya menulis entri ni. Saya seorang yang mempunyai cita-cita tinggi sedari kecil sebab di sebelah saya berdiri seorang motivator yang sentiasa saya sanjung hebat iaitu arwah Ayah saya sendiri.  Seingat saya, waktu memula masuk sekolah Darjah 1 masa tu, Ayah dah dorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya setiap hujung tahun saya dapat naik pentas untuk terima hadiah pelajar cemerlang dalam kelas.


Fuuhhhh saya memang bersemangat sebab saya suka hadiah.  Waktu dulu, tiga orang pelajar cemerlang dari setiap darjah akan dipilih untuk terima hadiah.  Hadiah pula sangat best bagi saya.  Biasanya alat tulis dan buku-buku.  Saya janji pada Ayah saya akan buat yang terbaik.  Pada waktu tu jugak, iaitu masa Darjah 1, Ayah dah paksa saya hafal sifir 1 hingga 12.  So setiap petang lepas ngaji Al-Quran, berbuih-buihlah mulut saya duk hafal sifir hehe.  Alhamdulillah saya memang selalu jadi pelajar terbaik masa di sekolah rendah dan setiap tahun saya akan naik pentas untuk ambil hadiah.  Hadiah paling best saya dapat ialah waktu darjah 6.  Sebuah basikal sebab dapat 5A UPSR.   Yessss !!!


Masa darjah 6, Ayah beri semangat pada saya supaya dapat kejayaan cemerlang dalam UPSR supaya saya dapat belajar di sekolah asrama penuh.  Alhamdulillah pesan Ayah saya genggam ketat-ketat dan berjaya lah saya masuk ke Sekolah Menengah Sains Machang, sebuah sekolah berasrama penuh tersohor di Kelantan.   Masa di sekolah menengah,  Ayah panaskan lagi semangat saya supaya belajar lebih tekun agar saya dapat masuk universiti hebat.  Alhamdulillah lepas SPM saya dapat sambung belajar di University of Arkansas, USA.



Pada tahun 1999 sekembalinya saya dari USA, saya diterima bekerja sebagai Pensyarah Bahasa Inggeris dan Matematik di SHAHPUTRA University College di Pekan, Pahang.  Di penghujung tahun 1999, Allah pertemukan jodoh saya dengan Hasnishah Idris dan dari situ pula bermula kisah dan pengalaman saya dalam bidang perniagaan.  Alhamdulillah, walaupun motivator hebat saya telah pergi ke alam 'sana',  Allah gantikan motivator yang tak kurang hebat dalam hidup saya iaitu suami saya.


Pada hari ni, dah hampir 17 tahun saya berbisnes.   Pernah lalui episod dukacita tapi semangat kami tak pernah dukacita.  Harus move on walau apapun yang terjadi.  Mulanya saya dan suami menceburi perniagaan kedai emas di Kuantan.  Masa tu emas cuma paling mahal pun RM36/gram.  Ada suatu masa emas naik sampai RM40/gram dan jualan makin kurang & makin kurang.  Tetiba pulak ada kawan baik suami rekemen untuk masuk program pelaburan antarabangsa.  Kami cuba melabur wang tunai RM100 ribu dulu.  Peringkat permulaan pelaburan kadar pulangan keuntungan sangat wowww hinggakan kami bercadang untuk melepaskan perniagaan kedai emas dan tumpukan betul-betul pada pelaburan ni.



Semua barang kemas kami LEBURkan dan jadikan GOLD BAR dan tukar jadi tunai untuk dilaburkan dalam program tu. Dipendekkan cerita, kedai emas kami tutup, pelaburan wang tunai hampir RM1.5juta belum dapat balik hingga ke hari ni.  Lebur, labur & lebur akhirnya 😭


Dipendekkan cerita...


Alhamdulillah Allah bantu dan kami move on & terus jalan.  Sekarang kami ada 5 cawangan kedai perabot, 3 buah hotel bajet, 3 projek perumahan sedang dalam pembinaan, 2 bilik seminar, dan In shaa Allah bulan Mac nanti kami akan buka cafe pertama.


Perjalanan bisnes saya dan suami agak panjang dan berliku-liku.  Besar harapan saya untuk menulis segala pengalaman bisnes dalam blog ni dan berkongsi macam mana kami dari berjaya, jatuh dan bangun kembali dan terus jalannnn sampai berjaya kini.


Sebenarnya,  saya bukan diduga dengan kehilangan RM1.5 juta saja.  Dugaan yang paling berat ialah semasa tahun 2007 saya disahkan mengidap kanser payudara.  Ya Allah masa mula2 tahu, saya dah tak fikir apa-apa.  Yang bermain dalam kepala saya ialah SAYA AKAN MATI.  Masa tu saya masih naif.  Maklumlah baru umur 31 tahun.  Berkat sokongan daripada suami, ibu saya, dan ahli keluarga,  saya teruskan melangkah dengan membuat rawatan lengkap bagi penyakit kanser iaitu pembedahan payudara, rawatan kemoterapi dan rawatan radioterapi.


Saya sangka selepas membuat rawatan lengkap, saya dah pulih.  Tapi sangkaan saya meleset sama sekali.  Lima tahun selepas serangan kanser payudara, saya diserang kanser lagi.  Allahuuuu.  Pada awal tahun 2012, saya mengalami batuk-batuk yang berpanjangan hingga berbulan-bulan lamanya.  Apabila dilakukan pemeriksaan dan ujian, doktor sahkan kanser telah merebak ke paru-paru.  Masya Allah.  Tapi kali kedua diserang kanser saya tenang je.  Saya dapat terima dugaan ni. Saya tahu kanser ni kalau dah merebak ke paru-paru memang dah tak ada jalan keluar cuma ada jalan MATI.  Tapi saya redha.  Saya dah benar-benar tahu erti sebenar redha.


Bila dah faham erti redha, saya terima dugaan ni tapi dalam masa yang sama saya perlu ikhtiar.  Saya terus jalannnnn.  Saya ulang balik rawatan kemoterapi & radioterapi.  Dalam masa yang sama juga saya mencari rawatan alternatif dan saya jumpa rawatan islamik iaitu dengan mengamalkan zikir dan bacaan ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran untuk merawat kanser.  Alhamdulillah, kini saya dah selesai rawatan kanser dan saya teruskan hidup macam biasa tapi kali ni saya berasa lebih dekat dengan Dia.  Setiap hari yang saya lalui terasa sangat bermakna. 


Saya percaya, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada rahmat yang tersirat.  Pasti ada pengajaran yang Allah nak kita pelajari.  Sungguh!  Dugaan ini buat saya belajar banyak benda.  Terlalu banyak yang ingin saya berkongsi dengan anda semua.  Inilah antara sebab utama saya nak mula menulis.  In Sha Allah saya akan berkongsi di sini tentang pengalaman bisnes, tips-tips urus bisnes untuk newbies, tips pengurusan kewangan, tips pengalaman sebagai pesakit kanser, tips urus emosi jika disahkan mengidap kanser, rawatan kanser secara konventional dan islamik, dan tak lupa juga travelog kembara saya sekeluarga ke tempat-tempat best di seluruh dunia.






Saya harap anda semua akan seronok berada dalam blog saya dan sentiasa ikuti perkembangan saya.  Semoga segala apa yang akan saya kongsikan memberi ibrah, inspirasi, dan pengajaran untuk kita semua.  Dengan izin Allah.



Terima kasih daun kelapa,
Esok pula kita jumpa.