Kisah Makcik Tua

Sebelum ke tempat kerja, aku lencong kereta ke stesen minyak yang ada mesin atm.  Tak jauh.  Lebih kurang 500 meter je dari rumah.  Syukur ada parkir kosong.  Haishh!  Sibuk sekali aku akhir-akhir ni mengalahkan wanita pertama.  Boleh pulak aku  tak perasan duit dalam beg tangan tak ada langsung.  Usahkan lima belas ringgit, seringgit pun tak ada.

Aku turun dari kereta.  Ketup ketak ketup ketak! Bunyi tapak kasut tumit tinggi ku menapak ke dalam ruang kedai runcit yang menempatkan mesin atm.

Syukur tak ramai orang keluarkan duit.  Cuma ada seorang makcik tua bersama seorang anak gadis.  Aku agak anak gadis itu pekerja di situ sebab dia pakai baju seragam stesen minyak tu.

Di tangan makcik itu ada buku nota kecil seakan buku 555.  Teringat pula arwah Mak dulu pun ada buku 555.  Dia simpan nombor telefon anak-anak dan nombor pin kad bank dalam buku tu.

"Makcik, ermmm duit Makcik dalam bank ni ada lima belas ringgit."  Kata anak muda itu pada makcik.  Sahlah dia tolong makcik tu buat transaksi di mesin ATM.  Perlahan je suaranya tapi aku dapat dengar.

"Ye ke Nak... Hmmm.  Tak apalah."

Suara makcik tu macam tak nak keluar,  ada nada sedih dan mengharap.  Aku pulak serba salah.  Nak bagi duit pada makcik, aku cuma ada 80 sen.  Haishh kesian Makcik itu.

Kaki ku cepat-cepat melangkah setapak dan aku masukkan kad ATM ku.  Tet tet tet tet tet tet !  Ku pilih pengeluaran tunai cepat.  Zrett zrettt.. duit ku keluar dari mesin ATM.  Ku genggam kemas-kemas duit dan kad ATM lalu menapak keluar dari kedai tu.

Sambil mengatur langkah ke kereta, mata ku melilau mencari Makcik tadi.  Tak ada pulak kelibat dia.  Ku curi pandang tengok ke dalam kereta yang sedang parkir untuk mengisi minyak.  Mana lah tahu mungkin dia pemandu atau penumpang kereta yang sedang mengisi minyak.  Pun tak ada.  Haishh cepat benar orang tua ni menghilang.

Aku cepat-cepat masuk ke dalam kereta.  Aku tutup pintu kereta.  Kaki kananku menekan pedal brek.  Cepat-cepat tangan kiriku menekan butang Start.  Aku undur kereta lalu keluar dari parkir dan terus memandu ke arah laluan kecil menuju ke sebuah pasar mini.  Entah.  Ilham ku kuat mengatakan Makcik tadi pasti ikut lorong kecil tu.

Sah!  Lebih kurang 20 meter di depan kereta aku nampak susuk tubuh seorang wanita tua berjalan seorang diri.  Keretaku menghampirinya.  Tanganku mengeluarkan sehelai not dari dalam beg tanganku.  Apabila keretaku berada seiring dengan langkahnya, aku turunkan cermin tingkap kereta.

"Assalamualaikum Makcik.  Makcik nak pakai duit ke?"

Makcik tu macam terkejut tapi raut wajahnya tetap tenang.  Tapi aku nampak dia sedikit blur jugak.  Iyalah.  Ada ke patut aku tanya macam tu.  Sekurang-kurangnya tanyalah khabar dulu atau tanya dulu dia nak ke mana.

"Apa dia, Nak?" Katanya.

Aku ulangi lagi pertanyaanku.

"Makcik nak guna duit ke?"

Kali ni tangan ku terus hulurkan duit padanya.  Dia menyambut tanganku.

"Ya Allah Nakkkk."  Dia terus datang dekat ke keretaku dan memelukku ketat-ketat.  Dia cium-cium pipiku.

"Ya Allah.  Sayangnya Nakkkk."  Aku lihat dia senyum tapi macam nak menagis sebab air matanya bergenang. Dia merangkul aku.

"Ya Allah Nakkk."  Dia cium lagi pipiku.  Aku nampak cecair jernih mengalir laju di kedutan pipinya.  Lidahku kelu.  Aku balas pelukannya walaupun agak kekok.  Kepalaku sedikit keluar dari tingkap kereta.

Ping Ping ! Ah siapa pula yang hon? Aku melepaskan rangkulannya.  Aku pandang cermin belakang.  Di belakang keretaku berderet dua tiga kereta.  Masha Allah ! Aku berhenti di tengah-tengah jalan rupanya.

"Saya pergi dulu Makcik.  Assalamualaikum."

Aku terus menekan pedal minyak dan memandu laju ke depan.  Entah kenapa fikiranku melayang jauh.  Jauh meninggalkan tempat ini dan mencari wajah arwah Mak.  Otakku pula tak semena-mena menggantikan wajah Makcik tadi dengan wajah suci bersih arwah Mak.

Fikiranku membayangkan Mak yang sudah tua berjalan jauh ke kedai yang ada mesin ATM.  Dah sampai ke mesin ATM, ingatkan bolehlah keluarkan duit untuk beli air kotak buat hilang dahaga.  Tapi duit cuma ada lima belas ringgit je dalam akaun bank.  Mana boleh buat keluar.  Usahkan nak bayar bil letrik, nak beli ikan dua ekor pun tak lepas.  Apalah perasaan Mak masa tu kan.

Ahh tak sanggup aku nak bayangkan.  Terlalu sebak hatiku seperti dihunus pedang samurai.  Tiba-tiba hatiku sayu teringatkan belaian kasih ibu.  Sementelah masih terasa lagi kehangatan pelukan Makcik tua tadi.

Masa keretaku berhenti di lampu isyarat, makin menjadi-jadi pulak tangisanku hingga teresak-esak dan tersedu-sedan.

"Emak, orang rindu ke Makkkk" bisikku.

Air mataku berlumba-lumba jatuh ke pipi.  Habis basah tudung lilitku.  Sebenarnya aku terlalu rindukan ibuku.  Dah hampir tiga tahun Mak pergi.  Hampir tiga tahun jugalah aku tak ada tempat meluahkan suka duka hidupku pada seorang yang bergelar ibu.

Kalau dulu, Mak lah tempat ku cerita masalahku terutamanya masalah kesihatanku.  Di kala orang lain tidak menyokong keputusanku untuk melakukan pembedahan mastektomi, Mak tetap menyokongku.  Di kala orang lain sibuk dengan tugas harian masing-masing, Mak setia menungguku selama sepuluh hari di hospital.

Terlalu besar pengorbanan Mak terhadapku.  Hanya Allah saja yang akan membalasnya dan aku yakin Mak dah berada di tempat yang terbaik di 'sana'.

Anda yang masih ada ibu ada ayah, berbaktilah pada mereka sementara mereka masih ada di dunia ni.  Buatlah yang terbaik untuk mereka.  Peruntukkan sebahagian dari pendapatan kita untuk mereka.  Luangkanlah sedikit masa untuk bersama-sama mereka. In shaa Allah, Allah akan mudahkan urusan seharian kita dan diluaskan pintu-pintu rezeki untuk kita.

Catatan harian,
Mahariani Hassan.




3 Jenis CINTA dalam KEJAYAAN Bisnes

Teks:  Mahariani Hassan


1. CINTA DUIT.  Eh Sekejap.  Jangan salah faham di sini.  Cinta duit di sini maksudnya sayang duit.  Kita kan bila cinta orang tu, kita sayang dia betul-betul.  Kita jaga dia betul-betul.  Betul kan? Hah samalah di sini.

Macam mana nak sayangkan duit dan jaga betul-betul?

Kita kenalah BIJAK dalam menguruskan perjalanan bisnes kita terutamanya dari segi kewangan.  Jaga dengan baik urusan keluar masuk duit.  Pada peringkat permulaan bisnes, elakkan berbelanja terlalu boros.  Belajar untuk berjimat cermat.  Kalau boleh, tahan dulu diri sendiri dari beli BENDA yang tidak penting contohnya KERETA MEWAH.  Ini sangat PENTING!

Bila bisnes dah maju dan berkembang serta kukuh, baru lah boleh nak fikir-fikir pasal nak beli Lambogini ke, nak beli kapal selam ke atau nak melancong ke bulan. Kehkeh.
.

2. JANGAN BERBAGI CINTA.  Setialah kepada satu bisnes dulu dan jalankan dengan penuh fokus dan yakin.  Kalau nampak macam bisnes agak selowww je, jangan cepat nak berubah hati pulak.

Siasat dulu, buat post mortem kenapa bisnes slow.   Elakkan lompat dalam bisnes.  Teruskan fokus, fokus, dan fokus.  In shaa Allah jika kita terus fokus, bisnes kita akan makin sustained, iaitu semakin bertahan lama.
.

3. JATUH CINTA dengan bisnes yang kita buat.  Ini yang paaaling PENTING.  PASSION omputih kata.  Bila kita dah jatuh cinta, buat apa pun seronok saja  kan.  Tak rasa terbeban pun.  Hari-hari kerja pun tak apa.

Tapi kalau kita belum jatuh cinta lagi, cuba dalami apa yang sedang kita buat sekarang.  Cuba menjiwai bisnes kita.  Cuba kenali bisnes kita.  Kalau tak kenal, maka tak cinta.  Betul tak?

Do what you love and the money will follow 🤑

Saya doakan semua yang membaca entri ni akan diberikan Allah perniagaan yang untung dunia akhirat, perniagaan yang tidak rugi dunia akhirat serta diberikan rezeki yang melimpah ruah yang diredhai Allah dan ianya membantu ramai orang lain!

Silalah  share untuk manfaat semua orang.

Saya CINTA awak  😍

5 Tips doa CEPAT MAQBUL

Teks:  Mahariani Hassan

Alhamdulillah hari ni Allah bagi ilham untuk berkongsi tips supaya doa cepat dimaqbulkan Allah.  Perlu sentiasa ingat bahawa semuanya dari Allah.  Dalam masa yang sama kita mesti jaga perkara yang wajib antaranya mendirikan solat fardhu 5 waktu dan menutup aurat dengan SEMPURNA.  
.

Afdhol diamalkan pada sepertiga akhir malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur.  Yang ada hanyalah kita dan Pencipta kita.
.

1. Mulakanlah dengan MANDI SUNAT TAUBAT.  Niatkan dalam hati 'sahaja aku mandi sunat taubat dari segala dosa-dosa besar dan dosa kecil,  zahir dan batin kerana Allah Taala.'  Mintak Allah gugurkan segala dosa-dosa kita sebagaimana gugurnya air mandian kita.
.

2. Dirikanlah SOLAT SUNAT TAUBAT 2 rakaat.  Pada sujud terakhir bacalah Doa Nabi Yunus (Surah Al-Anbiya' ayat 87) 41 kali.  Doa ini boleh dibaca di mulut sebab ianya adalah ayat-ayat  AlQuran.  Selesai bacaan doa Nabi Yunus, berdoalah dalam hati minta Allah ampunkan dosa-dosa kita, dosa pasangan kita, dosa kedua ibubapa kita, dosa anak-anak kita, dosa ahli keluarga kita, dosa guru-guru kita, dosa pekerja-pekerja kita, dosa sahabat-sahabat kita, dosa jiran-jiran kita, dan dosa kaum muslimin dan  muslimat seluruh dunia.
.

3. Dirikanlah SOLAT SUNAT TAHAJJUD (jika waktu malam) atau SOLAT SUNAT DHUHA (waktu dhuha) minimum dua rakaat.  Doa khusus pada sujud terakhir.  Doa dengan bersungguh-sungguh. Mintalah dengan bersungguh-sungguh. Menangislah dengan bersungguh-sungguh.  Paksa diri supaya menangis walau setitis air mata.  Sebabnya semasa kita menangis, hati kita akan jadi lembut.  Bila hati kita dah lembut, kita akan berasa lebih dekat dengan Allah.  Kita rasa Allah sangat mendengar doa-doa kita.
.

4. Dirikanlah SOLAT SUNAT HAJAT dua  rakaat.  Doa khusus pada sujud terakhir.  Mintalah apa yang kita nak minta.  Ceritalah segala masalah kita pada Allah dan minta jalan keluar dari segala masalah.  Mintalah dengan bersungguh-sungguh. 
.

5. Dirikanlah SOLAT SUNAT WITIR (jika waktu malam) minimum 1 rakaat.  Di sujud terakhir, doakan dalam hati 'Ya Allah, sesungguhnya segala #solatku, #ibadahku, #hidupku, dan #matiku hanyalah untukMu saja Ya Allah.  Perkenankanlah segala doaku dan hajatku.  Engkau saja yang dpt memperkenankan doa2 ku.  Tiada yang lain.'
Aamin.  
.

PS:  SharingIsCaring. Sila share untuk kebaikan semua orang.  Semoga bermanfaat dan menjadi asbab Allah maqbulkan doa-doa kita semua.  

Kunci Hidup MEWAH #2

Teks:  Mahariani Hassan

Beri lebih daripada apa yang kita dapat.  Omputih kata 'The more you give, the more and more and more you will get back.'  

Anggaplah kita sedang mengumpul saham.  Banyak modal yang kita laburkan, In shaa Allah banyaklah bonus yang kita akan dapat nanti.

Sedeqahlah sebahagian dari rezeqi kita kepada yang memerlukan.  Cuba amalkan sedeqah ini secara berterusan, konsisten dan istiqomah.

Sedeqah yang paling afdhal ialah kepada ibu dan ayah kita.  Walaupun kita cuma mampu sedeqah RM10 pada ibu ayah kita, pastikan kita buat berterusan.  Jika mampu, beri setiap hari Jumaat.  Jika kurang mampu, sekali sebulan.

Walaupun ibu bapa kita dah kaya, hidup mewah dan tidak perlukan duit kita, bersedeqahlah pada mereka.  Bagitau mereka, ambiklah duit kita ni.  Jika mak, ayah tak nak guna untuk diri sendiri, mak sedeqahkanlah pada orang lain yang memerlukan.  Mak pun dapat pahala, kita pun dapat bahagian kita tanpa kurang sedikitpun.

Selalunya, kita cuma sedeqahkan pada mak je kan.  Kita jarang nak sedeqah pada ayah.  Cuba mulai sekarang kita sedeqahkan juga pada ayah.  Jika dia menolak, bagitau "Ayah, saya ikhlas sedeqahkan RM10 ni pada ayah.  Kalau ayah tak nak guna, ayah sedeqahkan lah pada masjid.  Ayah niatlah dalam hati supaya pahala sedeqah ni Allah ganjarkan pada saya rezqi yang melimpah ruah."  Haaa gitu kekdahnya.

Uolss yang masih ada mak dan ayah, please please please amalkan sedeqah pada mereka.  Sebab bila diorang dah tak ada nanti, uollss akan terkilan jika tak amalkan benda ni.

Tips dari saya:  Sedeqahkan juga kepada institusi pengajian Al-Quran contohnya Pusat Tahfiz dan kelas mengaji dewasa.  Sedeqah kita tu pulak mungkin digunakan untuk membayar gaji kepada guru Al-Quran yang mengajar mengaji.  Uolss kiralah sendiri.  Tak akan terkira ganjaran yang Allah akan bagi pada kita nanti.

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai  pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al Baqarah : 261)

Itulah dia sifir sedekah.  The more you give, the more you will get back.  Janji Allah pasti benar.  Kita buat saja.  In shaa Allah kita semua akan hidup MEWAH di dunia dan di akhirat.

In shaa Allah.

Nak tahu #kunci yang ke #3 ?


Kunci Hidup MEWAH

Teks:  Mahariani Hassan

#1.
Sentiasa tunduk ke bawah.  Omputih kata #HUMBLE.  Uolls, kita kat dunia ni berapa lama sangat nak hidup di atas ye? Berapa  lama sangat nak pandang ke atas je?

Keegoan dan perasaan sombong sentiasa ada dalam diri kita.  Tak ada cara lain untuk mengelaknya selain tunduk pada kuasa yang Maha Kuat.  Tunduk pada kuasa Allah Taala.

Solat lima waktu memerlukan kita untuk sujud sebanyak 34 kali dan rukuk sebanyak 17 kali. Pernahkah masa kita rukuk dan sujud tu, kita tunduk dengan membawa sekali keegoan, kesombongan, hati dan jiwa kita ke bawah?

Apabila sujud, sepatutnya masa tu luruh jatuh tersembam semua keegoan kita. Kita akui ada kuasa yang lebih hebat dari diri kita. Kalau kita tak pernah rasa macam tu, eloklah kita semua mulakan sekarang.

Ramai manusia lupa, tapi Allah S.W.T tidak pernah melupakan kita.  Tetapi bila kita sentiasa tunduk padaNya, dengan izinNya Dia akan berikan kemewahan pada kita dengan cara yang kita tak sangka pun.  #Kuncinya ialah sentiasa tunduk dan pesan pada diri sendiri kita tak punya apa-apa.  Semuanya Allah punya.

To be continued...

Salam Jumaat uolss.

PS: Please #share untuk kebaikan semua orang.  Boleh kan?

5 TIPS JEMPUT PELANGGAN DATANG KE KEDAI KITA BERULANG-ULANG

Teks: Mahariani Hassan


Assalamualaikum diucapkan kepada anda semua. 

Sejak akhir-akhir ni nampaknya makin susah pelanggan-pelanggan nak masuk ke kedai kita.  Kita fahamlah keadaan sekarang ni dah tak macam dulu lagi.  Semua orang nak berjimat cermat.  Beli barang-barang keperluan je dulu.  Tapi kita cuba buat yang terbaik untuk tarik pelanggan yang "LAPAR" masuk ke kedai kita dan pulang dengan "KENYANG".

Cuba tips tarik pelanggan gaya saya ni.  In shaa Allah dengan izin Allah kedai anda akan sentiasa dikunjungi ramai pelanggan, nak-nak pula masa cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti..


1) TAJUK POS IKLAN BLOG, FACEBOOK ATAU INTAGRAM MESTI MENUNJUKKAN LOKASI KEDAI

- Buat satu post dengan gunakan tajuk yang mengandungi lokasi yang spesifik.  Kalau anda buat Fb ads, pastikan iklan tu disasarkan kepada AVATAR yang ada berhampiran dengan kedai kita tu.
- Dengan cara ni, diorang akan lebih alert tentang kewujudan kedai kita ni, alahai dekat je pun dengan tmpat diorang.
- Contohnya post iklan kedai perabot Purnama Home Decor.


"FIRST IN KOTA BHARU! KEDAI PERABOT KONSEP IKIA KINI DIBUKA DI JALAN HOSPITAL KG TAPANG!"

"TAK TAU MANA NAK SHOPING PERABOT HUJUNG MINGGU NI? JOM LA KE KEDAI PERABOT PURNAMA KUALA IBAI!"

"APA? SET BILIK TIDUR LENGKAP DI KEDAI PERABOT PURNAMA CAWANGAN BALOK CUMA RM799?"


Nampak kan?  Haaaa terbayang dah dalam kepala balik kerja nanti nak cuba intai-intai kedai perabot Purnama Home Decor tu.


2) AMBIL GAMBAR KEDAI

 - Mula-mula ambiklah gambar kat luar kedai kita yang boleh nampak papan tanda atau bunting atau apa-apa mercu tanda berdekatan..  
- Dengan cara ni, bakal pelanggan akan senang nak cam rupa paras kedai kita jika dia lalu jalan tu.
- Lepas tu ambillah gambar suasana dalam kedai kita.  Sebenarnya kan, pelanggan suka gambar yang 'raw'.  Gambar yang REAL.  Tak payah nak crop cantik-cantik bagai. Ejas sikit-sikit jer.
- Paling best ambik gambar masa pelanggan tengah ramai berpusu-pusu pilih barang dalam kedai kita.  Tu semuanya akan menambahkan 'trust' bakal pelanggan untuk singgah ke kedai kita.
- Dah ada semua gambar tu, masukkan dalam post yang kita buat tajuk spesifik lokasi tadi.


3) BAGI TAWARAN

- Sekali sekala buatlah tawaran khas untuk pelanggan terawal atau pelanggan bertuah yg datang ke kedai kita.  Letakkan urgency seperti masa terhad dan stok terhad.
- Contohnya:


"Khas utk 10 pelanggan terawal, kami akan bagi percuma 4 biji bantal bulu angsa emas jika anda buat pembelian set bilik tidur berharga RM1000 ke atas.  Tapi tawaran ni terhad sampai hari Jumaat ni je tau.  Jadi, jangan lah tunggu lama-lama adik kakak semua.  Cepatlah datang borong perabot dekat sini ok.


4) BUAT PERADUAN

- Kalau anda ada bajet lebih sikit, buatlah peraduan dan bagi hadiah istimewa sikit.
- Contohnya, mintak pelanggan swafoto dengan barang yang dibeli dan hantar gambar tersebut kepada kita.  Pelanggan yang menghantar gambar yang paling unik dan terserlah akan memenangi sebuat tablet bernilai RM2000.00.
- In shaa Allah nanti ramailah pelanggan akan berpusu-pusu datang kedai beli barang sambil swafoto sebab nak menangtablet yang mahal itu.


5) LAYANAN MESRA PELANGGAN

- layan pelanggan dengan baik dengan berkongsi kebaikan barang yang dia bercadang nak beli.  Ceritalah dengan jujur segala keunikan dan kebaikan barang kita tu.  Yang penting barang kita dapat selesaikan masalahmereka.
- Boleh juga sediakan air mineral dan snek ringan untuk pelanggan sementara dia tengah buat keputusan atau semasa dia menunggu kita membuat bil jualan.
- Jika jualan telah berjaya, tawarkan pertolongan untuk mengangkat barang-barang ke keretanya atau usahakan untuk memberikan penghantaran segera ke rumahnya.
- Selepas sehari, cubalah hubungi pelanggan melalui panggilan telefin atau pesanan ringkas bertanyakan feedback pelanggan tentang keadaan barang samada dalam keadaan ok dan baik.  Tanya juga samada dia puas hati dengah layanan dan servis kita.
- In shaa Allah pelanggan akan datang lagi.  Bukan dia datang sorang je, dia datang dengan mak, ayah, adik-beradik, jiran dan geng satu pejabat.


Jadi pada anda yang ada kedai fizikal dan dalam talian, bolehlah cuba tips yang saya bagi ni ye. Saya doakan moga kedai anda akan diserbu bertalu-talu dengan pelanggan-pelanggan selepas ni.

Dengan izin Allah.

Secret Garden

Alhamdulillah… Pagi Ahad yang sedikit mendung  hari ni. Daripada duduk bemalas-malasan atas katil  rasa lebih baik bermesra-mesraan dengan pokok-pokok di taman halaman rumah yang saya namakan  secret garden.
Sebenarnya, kebanyakan pokok yang ada di taman ni ditanam oleh Abang. Kami mula menanam pokok-pokok ni dari awal mendiami rumah ini iaitu pada akhir tahun 2004. 
Alhamdulillah taman ini dibina dengan penuh kasih sayang oleh kami sekeluarga. Sekarang kebanyakan pokok dah semakim tinggi dan membesar. Sebagai contoh, pokok kipas dahulunya hanya dibeli didalam pasu plastik yang kecil. Tingginya dulu tak sampai satu kaki. Tapi sekarang dah besar panjang hidup subur di tepi gazebo minum petang.
Secret garden diberi nama berdasarkan kedudukan taman ini terbatas daripada pandangan orang luar. Rumah kami dipagari pagar benteng setinggi 8 kaki. Bukan bertujuan untuk bermegah tetapi bertujuan untuk mewujudkan sebuah rumah yang santai seperti di resort dan kami bebas bersantai di taman atau makan2 di ruang makan terbuka sambil menonton tv tanpa ternampak oleh orang lain dari luaran atau jalanan.
Insya Allah secret garden ini akan terus menceriakan hidup kami sekeluarga dengan memberikan udara yang bersih dan menyebarkan Qi positif serta cinta kasih sayang ke seluruh hidup kami.
Mahariani Hassan
Catatan harian.

Lala oh Lala

Assalamualaikum semua.  Anda pernah makan masakan dari makanan laut yang diberi nama 'shell out'? Anda mesti tak percaya yang saya tak pernah cuba makan di restoren yang menyediakan masakan 'shell out'.

Saya bukannya allergic pada makanan laut tapi saya trauma.  Saya trauma pada mende yang namanya lala.  Issshhh kejadian ni dah hampir 17 tahun berlalu tapi masih segar suci dalam debu.

Masa mula-mula kahwin, jarang sangat masak kat rumah.  Yelah duduk berdua, baru kahwin, masak pun tak pandaiiii.  Yang reti masa tu masak megi jerr.

Ada suatu hari tu Uncle Lim, kawan abang ajak makan kat luar.  Makan istimewa sikit kat restoren ikan bakar femes kat Kuantan.  Makan besar jugaklah malam tu antaranya nasi lemak rambo, ikan pari bakar, kerang bakar dan lala bakar.

Saya tak pernah makan lala bakar.  Kalau etok salai tu selalu dah makan.  Lala ni kakak kepada etok lah lebih kurang tapi bentuk dia macam tiga segi sikit.  Anda mesti selalu makan kan?

Ikan dan kerang bakar saya tolak tepi.  Saya ngadap lala bakar je.  Sedap weiiihhhh lala bakar dengan sos rahsia resepi Rambo katanya.  Rasa pedas-pedas tapi manis masin dan masam sekata dan isi lala tu sangat juicy perrgghhh saya makan tak tengok kiri kanan dah hahah.

Malam tu saya tidur kekenyangann.  Tapiiii, dalam pukul 3 pagi macam tu perut saya rasa macam ada lala gergasi dengan gigi tajam duk ngap-ngap  ratah isi perut saya.  Pedihnya ya ampunnn.  Entah berapa kali saya ulang alik ke jamban malam tu.  Saya sumpahhhh tak akan makan lala lagi lepas tu.


Lala oh lala.



Tapi semalam, akhirnya saya cuba makan.  Abang order pakej untuk 4 orang makan.  Ada lala, kerang, sotong, udang, ketam, oister, juga sayur campur dan nasi.  Sebelum tu dah baca doa Bismillah Syafi.  Moga Allah selamatkan dari segala kemudharatan.

Sambil makan, abang kata shell out ni tak best pun dari segi rasanya.  Apa yang best ialah perasaan harmoni dimana kita berempat makan dengan tangan dalam bekas yang sama.  Adik ambik lala kakak, abah ratah sotong adik, mami tolong kupas kerang abah, bercampur aduk pula dengan cerita-ceriti dan gelak ketawa dengar cerita kakak satu kelas  kena denda ketuk ketampi sebab tak turun ke padang masa subjek PJ.

Sungguh!  Bukan sekadar makan makanan yang mahal dan mewah buat kita rasa gembira, tapi saat-saat dan moment ketika makan itu sendiri yang lebih berharga dan tak ternilai harganya.  MASA yang kita luangkan bersama keluarga tersayang sangat mahal harganya dan tidak pula dapat dapat dijual beli kerana MASA yang berlalu tidak akan dapat dipusing kembali.

Syukur Alhamdulillah dengan segala rezqi yang Allah kurniakan.

Mahariani Hassan
Catatan harian.

TERBAIK !

‎(فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ)

[Ar-Rahman:13]

(Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu,
yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Malam tadi, seperti dipanggil-panggil oleh Allah untuk bersujud padanya. Kejutan pertama pada jam 3.30am.
Tersedar…

Ya Allah!!! ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!
Allah.! Allah! Allah!

Astaghfirullahal’azim..
Astaghfirullahal’azim..

Astaghfirullahal’azim..
Terlelap…

Jam 4.30am..
Jam penggera telefon berbunyi…
Ya Allah!!! Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!
Allah.! Allah! Allah!

Astaghfirullahal’azim..
Astaghfirullahal’azim..

Astaghfirullahal’azim..
Terlelap lagi.. Ya Allah!!!

4.40am. Alhamdulillah…
Berjaya juga melepaskan belenggu syaitan…

Selesai solat taubat dan tahajjud, tambah pula solat sunat syukur.
Airmata kesyukuran membasahi sejadah yang diharumi dengan wangian kasturi.

Ya Allah! Terima kasih ya Allah!

KurniaanMu kepadaku, semuanya yang terbaik..
Kau kurniakan hidup yang terbaik buatku..

Suami yang terbaik

Ibubapa terbaik

Anak-anak terbaik

Adik beradik terbaik

Keluarga terbaik

Sahabat-sahabat terbaik

Jiran-jiran terbaik

Rumah terbaik

Kenderaan terbaik

Pekerjaan terbaik

Jawatan terbaik

Doktor terbaik

Hospital terbaik

Dan senarai ini takkan habis…

Semua semua semua TERBAIK !!!

Aku malu…
Sangat-sangat malu padaMu Ya Allah jika aku membawa persembahan yang tidak TERBAIK saat menemui Mu nanti Ya Allah!!!

Berikanlah aku kekuatan dan kesihatan yang terbaik
Agar aku dapat beribadah kepada Mu dengan sempurna dan TERBAIK Ya Allah!!!

Perkenankanlah Ya Allah…

Mahariani Hassan
Catatan harian.

Kisah Sepasang Kasut dan Sehelai Kopiah

Assalamualaikum semua.  Semoga anda semua dalam rahmat Allah selalu.  Hari ni semasa balik dari hantar anak-anak ke sekolah, terdengar tazkirah pagi di radio. Entahlah, saya dah lupa radio apa ke namanya.  Tapi yang saya ingat tentang kisah sepasang kasut dan sehelai kopiah.

Di suatu pagi yang cerah, kasut dan kopiah bersembang-sembang selepas tuannya baru balik dari menunaikan solat subuh di masjid.  Sang kasut berkata kepada sang kopiah bahawa sangat beruntung menjadi kopiah.  Kopiah pun terkejut lah.  Apasal pulak ni?

Yelah.  Kalau jadi kopiah, kau dimuliakan.  Walaupun harga kau tak berapa mahal, tapi tempat kau lebih mulia.  Di atas kepala.  Tempat paling tinggi tu.  Lagi pulak, kau dipakai semasa tuan kita nak melakukan ibadah yang mulia iaitu ketika solat.  Kau dibawa masuk ke dalam masjid.  Kadang-kadang kau dipakai ke kelas mengaji Al-Quran dan ke majlis tahlil.

Tapi aku, kau tengoklah.  Walaupun hargaku mahal, tapi tempatku di kaki, tempat paling bawah.  Aku dipijak-pijak.  Kalau tuan kita ke masjid, aku cuma ditinggalkan di luar, ditepi tangga.  Aku tak layak dibawa masuk ke dalam masjid.  Aku tak layak dipakai ketika tuan kita sedang solat dan sujud kepada Allah.  Tak macam kau.  Kau turut sama solat dan sujud kepada Allah.  Aku sangat sedih dengan nasibku wahai sang kopiah.  Uhuk uhuk.Uhuk uhuk.  Sang kasut menangis teresak-esak di tepi tangga. 

Sang kopiah simpati lalu memujuk sang kasut.  Eh, janganlah kau fikir macam tu wahai sang kasut.  Cuba kau fikir yang baik-baik.  Aku ni, cuma di pakai ketika solat je.  Ke masjid pun kadang-kadang je.  Tapi kau, kau sangat diperlukan oleh tuan kita, lebih daripada dia perlukan aku.  Kau dibawa ke mana saja.  Ke tempat kerja, ke restoren, ke pasaraya, malahan ke merata tempat tuan kita bawa kau.  Tapi aku ditinggalkan tergantung tak bertali di dinding. 

Kalau kau tak ada, tuan kita tak dapat pergi solat di masjid.  Ingat lagi tak masa solat Jumaat hari tu kau hilang.  Penat tuan kita mencari kau.  Kesian dia terpaksa balik rumah dengan berkaki ayam.  Habis melecet kaki tuan sampai berdarah terkena batu-batu kerikil di jalan.  Sampai di depan rumah terpijak pulak najis kucing jiran sebelah rumah kita ni.  Memang haru-biru hidup tuan kita kalau kau tak ada.  Kau perasan tak ni wahai sang kasut?

Dusshhh... Tersentak hati sang kasut seolah-olah dipiat dengan tali kasut. Selama ni dia cemburu kepada sang kopiah yang sentiasa dipakai bersama ketika solat bersama tuannya.   Selama ni juga dia berasa seperti tak berguna kepada sesiapa sebab kedudukannya cuma di kaki.  Tapi hari ni, dia baru tersedar yang rupa-rupanya banyak sumbangan dia pada tuannya.  Banyak pahalanya sebab menjaga kaki tuannya daripada terkena najis, duri dan batu-batu tajam ketika berjalan kaki ke masjid.  Allahu, jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur. 

Begitulah juga kehidupan kita manusia.  Setiap insan mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik di dalam hidupnya.  Allah tidak memandang pangkat, harta dan rupa tapi Allah pandang apa amalan kita, bagaimana kita mengisi hidup ini, bagaimana kita merancang kehidupan selepas mati nanti. Harga seorang hamba bergantung kepada amalannya.

“Tidaklah Kuciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku.”
(Surah. Az-Dzariyat: 56)

Mahariani Hassan.
Catatan harian.